Links

  • Utusan Malaysia...
  • Berita Harian...
  • Bernama...
  • Malaysiakini...
Paradigma baru untuk generasi serantau Print E-mail
Written by Oleh Ezam Mohd. Nor dan Sapto Waluyo, Mingguan Malaysia   
Sunday, 27 September 2009

HUBUNGAN Indonesia-Malaysia kembali mencair setelah kunjungan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman ke Jakarta minggu lalu. Anifah tidak hanya bertemu Menteri Luar Indonesia, Hassan Wirajuda, tetapi juga diterima secara khusus oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Kedua negara menyedari hubungan erat yang dibangunkan selama ini tak hanya bersifat formaliti antara lembaga pemerintahan, melainkan telah melibatkan kelompok perniagaan dan anggota masyarakat.

Hubungan kedua-dua negara pula tidak hanya berkaitan aspek politik dan keamanan, tetapi juga kerjasama ekonomi, pendidikan, sosial-kemanusiaan dan pertukaran kebudayaan. Perselisihan politik seperti sengketa perbatasan (kes Sipadan-Ligitan dan Ambalat, misalnya) seringkali menenggelamkan inisiatif kerjasama yang sangat luas di bidang ekonomi, pendidikan dan kebudayaan. Padahal, perbezaan pandangan dan kepentingan politik sebenarnya boleh dihubungkan, bila modal sosial (yakni, rasa saling percaya) telah dipupuk di kalangan elit politik mahupun tokoh-tokoh masyarakat.

Oleh kerana itu, salah satu agenda perbincangan Anifah dan Hassan adalah rancangan kunjungan Susilo ke Kuala Lumpur pada bulan depan. Pertemuan pemimpin kedua-dua negara akan menandai hubungan yang lebih kukuh setelah badai ujian yang datang berturutan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Susilo merupakan generasi penerus yang melanjutkan perjuangan para pendiri bangsa kedua negara.

Warisan para pendiri bangsa tidak sekadar kemerdekaan dan kedaulatan nasional, melainkan juga sebuah wadah kerjasama serantau di kawasan Asia Tenggara, yakni ASEAN. Tugas kita sebagai generasi penerus lebih berat, bukan semata-mata melestarikan organisasi yang bersifat fizikal dan meningkatkan frekuensi kegiatan antara negara anggota ASEAN.

Kita harus memberi makna atas setiap kegiatan dan kerjasama yang dilakukan, serta menyebarkan 'nilai-nilai baru Asia Tenggara'.

Nilai-nilai itu antara lain tercermin dalam Piagam ASEAN yang sangat menghargai keseragaman budaya negara-negara anggotanya. Selain itu, kita memegang teguh prinsip kedaulatan, persamaan, integriti wilayah, sikap tidak campur tangan dan konsensus. Semua itu menuntut setiap negara untuk mengembangkan wawasan nasional yang terbuka, bukan nasionalisme yang sempit dan membenci kewujudan negara-negara lain. Pada kenyataannya, tidak ada satupun negara di muka bumi ini yang boleh hidup sendirian tanpa hubungan dengan negara lain. Pengasingan itu hanya utopia yang merugikan bangsa sendiri.

Apabila kita teliti, negara-negara anggota ASEAN memiliki identiti nasional tersendiri sesuai dengan latar belakang sejarahnya, yakni: Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Di luar keunikan budaya setiap negara, kita memahami hadirnya rumpun budaya besar, yakni Melayu, Cina, India dan Eropah-Amerika yang mempengaruhi majoriti masyarakat di Asia Tenggara. Selain itu, kita menyaksikan pengaruh agama-agama besar, iaitu Islam, Kristian, Hindu dan Buddha di hampir semua anggota ASEAN. Sebahagian masyarakat terpencil Asia Tenggara masih ada yang menganut kepercayaan adat lokal.

Watak

Refleksi atas rumpun budaya besar dan agama-agama yang paling berpengaruh itu melahirkan kesedaran akan karakteristik masyarakat Asia Tenggara. Kita adalah masyarakat yang berwatak keagamaan (religious), menghargai nilai-nilai spiritual dan tidak menghamba pada capaian yang bersifat materialistik-fizikal belaka. Kita juga mengembangkan sikap harmoni dengan segala perbezaan yang nyata, bukan mengetengahkan konflik dengan keangkuhan dan sikap mahu menang sendiri. Masyarakat Asia Tenggara diakui bersikap terbuka terhadap kebudayaan dunia dan perkembangan zaman.

Ketiga nilai utama itu - keagamaan, harmoni, dan keterbukaan- sekurang-kurangnya membentuk identiti baru kawasan yang mempertemukan identiti nasional semua negara. Persoalannya, bagaimana cara yang efektif untuk membentuk identiti serantau yang melampaui batas-batas nasional, tapi tidak menghancurkan identiti nasional yang sudah ada? Ibarat sebuah mozaik yang terdiri dari pecahan kaca membentuk gambar yang indah, maka identiti serantau itu akan jauh lebih indah kerana terdiri daripada identiti nasional yang utuh dan tidak terpecah-belah.

Martha Finnemore dan Khatryn Sikkink, ahli sosiologi dari Perancis merumuskan teori norm life cycle. Siklus hidup sebuah norma/nilai diuraikan dalam tiga tahap: Kemunculan sebuah nilai baru, penubuhan nilai dalam sebuah organisasi dan penghayatan nilai oleh komuniti anggotanya.

Finnemore-Sikkink menggunakan kerangka teori itu untuk menjelaskan kemunculan nilai baru yang disebut "Euro-Islam" di kawasan Eropah Barat. Nilai baru itu dibawa oleh kaum imigran dari berbagai negara Asia dan Afrika yang datang ke Eropah untuk mencari pekerjaan dan kehidupan lebih layak beberapa dekad silam. Sekarang nilai itu telah membentuk wajah baru Eropah dan memberikan sumbangan yang cukup besar untuk kemajuan Eropah dari segi ekonomi mahupun budaya.

Pada tahap awal, sebuah nilai baru memerlukan pelopor dan penjaja nilai yang gigih dan berkomitmen tinggi. Para pelopor ini tidak putus asa menghadapi halangan dan cabaran yang sangat keras di dalam negara masing-masing atau lingkup serantau. Oleh kerana itu, mereka membentuk jaringan kerja yang semakin luas dan produktif terdiri daripada kaum profesional dan kelas menengah yang berpengaruh dalam kelompok masing-masing. Hingga akhirnya sebahagian masyarakat mendukung dan menyetujui nilai baru yang dipercayai dapat merealisasikan tujuan bersama.

Organisasi pemuda dan mahasiswa, serta kelompok masyarakat awam boleh menjadi penjaja nilai-nilai baru di kawasan Asia Tenggara. Mahasiswa Indonesia yang belajar di Malaysia, demikian pula mahasiswa Malaysia yang belajar di Indonesia, dapat berperanan sebagai role model untuk tumbuhnya identiti serantau. Mereka menyemai rasa saling memahami dalam dunia akademis yang bersifat objektif, bukan menyebarkan rasa saling curiga-mencurigai. Begitu pula kaum profesional yang bekerja dalam kelompok antara negara dapat mengembangkan budaya baru yang positif dan konstruktif bagi pembentukan identiti serantau.

Persoalan pragmatis mungkin timbul, apa gunanya sebuah kesedaran akan identiti serantau, sementara tiap negara berusaha keras mencapai kepentingan nasionalnya masing-masing berupa keamanan dan kesejahteraan penduduknya? Jawapannya terletak pada kepercayaan, bolehkah kita mewujudkan keamanan nasional yang optimum di tengah situasi serantau yang penuh goncangan dan ketidakstabilan? Bolehkah kita mencapai kesejahteraan nasional yang dicita-citakan, sementara di sekeliling kita terdapat ancaman kemiskinan dan ketempangan sosial-ekonomi yang sangat tajam? Keamanan dan kesejahteraan nasional kita akan terganggu, bila kita mengabaikan keamanan dan kesejahteraan negara tetangga di tingkat serantau.

Nilai-nilai

Untuk itu, nilai-nilai Asia Tenggara yang disebarkan harus selari dengan nilai-nilai universal yang diakui oleh seluruh negara di dunia. Di dalam Piagam ASEAN juga termaktub komitmen anggotanya terhadap prinsip demokrasi, penegakkan dan kedaulatan undang-undang dan pemerintahan yang baik, serta perlindungan terhadap hak asasi manusia dan kebebasan fundamental yang telah menjadi aspirasi global.

Kawasan Asia Tenggara bukan wilayah yang tertutup, namun menjadi bahagian dari dunia yang maju dan beradab. Sejak dahulu kala Asia Tenggara menjadi tempat persinggahan para pedagang dan pelancong dari segala penjuru dunia.

Di era informasi global kini, persaingan yang terjadi bukan lagi antara suatu negara dengan negara, tetapi antara suatu kawasan dengan kawasan yang lain. Asia Tenggara harus menyesuaikan diri dengan perkembangan kawasan lain seperti Asia Timur, Asia Selatan dan Asia Tengah. Bahkan, pusat pertumbuhan baru di Afrika dan Amerika Latin telah menarik perhatian negara-negara maju di benua Eropah dan Amerika. Bila kita bertengkar sesama anggota kawasan, maka negara lain akan mengalihkan pelaburan dan sumber daya ke kawasan lain.

Jangan sampai slogan ASEAN, "One Vision, One Identity, One Caring and Sharing Community", hanya menjadi kata-kata kosong tidak bermakna. Apalah ertinya kita menjadi negara aman dan maju sendirian akibat sikap ultra-nasionalistik, sementara kawasan di sekitar kita ketinggalan. Komuniti Asia Tenggara yang kita cita-citakan tak hanya mencakupi dimensi politik-keamanan dan ekonomi-perniagaan, namun juga dimensi sosial-budaya. Kita percaya, komuniti sosial-budaya yang bersahabat akan memperkukuhkan kestabilan politik-keamanan serta mendorong kemajuan ekonomi kawasan. Kita ingin menjadi negara yang aman dan maju di tengah kawasan yang damai dan sejahtera.

Oleh itu, kita tidak boleh terperangkap pada masalah emosional. Setiap negara memiliki kearifan tersendiri untuk memelihara identiti nasionalnya. Tenaga bersama kita harus dicurahkan untuk menyelesaikan masalah serantau yang lebih serius seperti bencana alam. Kerjasama serantau ketika menangani gempa bumi dan tsunami di Aceh dan Asia Tenggara pada Disember 2004 merupakan pengalaman berharga, bahawa kepentingan dan perpaduan serantau menguntungkan semua pihak.

Negara besar dan kuat seperti Amerika Syarikat sahaja tidak boleh menangani ribut Katrina sendirian.

Masalah lain yang merugikan kepentingan antara negara adalah kebakaran hutan yang terjadi hampir setiap tahun. Kita harus menangani masalah itu bersama-sama, tanpa sikap saling menyalahkan antara satu sama lain, sebab para pelaku pembakaran hutan jelas melibatkan sindiket antara negara. Di samping itu, kejahatan pembalakan haram, kegiatan lanun dan penyeludupan manusia memerlukan penyelarasan antara negara untuk menanganinya.

Semua itu tidak akan boleh dilakukan tanpa paradigma baru oleh generasi baru penghuni rantau ini.

 

Gallery

Sambutan Hari Raya 2008
 
Raya-08 :: Sambutan Aidilfitri   Raya-08 :: Sambutan Aidilfitri   Raya-08 :: Sambutan Aidilfitri
 
Raya-08 :: Sambutan Aidilfitri   Raya-08 :: Sambutan Aidilfitri   Raya-08 :: Sambutan Aidilfitri
 
 Raya-08 :: Sambutan Aidilfitri   Raya-08 :: Sambutan Aidilfitri   Raya-08 :: Sambutan Aidilfitri
 
 Raya-08 :: Sambutan Aidilfitri   Raya-08 :: Sambutan Aidilfitri   Raya-08 :: Sambutan Aidilfitri
 
 Raya-08 :: Sambutan Aidilfitri   Raya-08 :: Sambutan Aidilfitri   Raya-08 :: Sambutan Aidilfitri
 
 Raya-08 :: Sambutan Aidilfitri   Raya-08 :: Sambutan Aidilfitri   Raya-08 :: Sambutan Aidilfitri
 
 Raya-08 :: Sambutan Aidilfitri   Raya-08 :: Sambutan Aidilfitri   Raya-08 :: Sambutan Aidilfitri
 
Sidang Media 29-05-2008
 
29-05-08 :: Sidang media Abdullah di Parlimen   29-05-08 :: Sidang media Abdullah di Parlimen   29-05-08 :: Reezal Marical (Kanan) menyambut kedatangan Ezam