| Agenda Rosakkan Asas Negara |
|
|
| Written by Mingguan Malaysia | |
| Sunday, 09 August 2009 | |
|
MINGGUAN: Apakah pandangan saudara berhubung demonstrasi yang diadakan di ibu negara baru-baru ini? MOHAMAD EZAM: Kita perlu menerima hakikat rakyat berhak berhimpun secara aman, tetapi hak tersebut tidak boleh dilakukan sehingga merosakkan negara. Kita tidak boleh meletakkan negara dalam bahaya. Bagaimanapun demonstrasi yang berlaku baru-baru ini dan sebelumnya telah menjurus ke arah tersebut. Ia dilakukan bukan untuk menyatakan secara jujur ke arah perubahan tetapi lebih kepada merosakkan institusi negara khususnya dalam kes Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).
Keluarga saya adalah antara mereka yang mengasaskan GMI ketika saya ditahan di bawah ISA dan saya kesal kerana GMI telah diperalatkan dan dipergunakan. Sebenarnya mereka tidak perlu berdemonstrasi sebab sudah ada komitmen daripada Perdana Menteri untuk mengkaji akta berkenaan dan komitmen tersebut dibuat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari pertama beliau menjawat jawatan itu. Komitmen ini tidak pernah kita dengar sebelum ini daripada mana-mana pemimpin yang berkuasa malah daripada Anwar sendiri ketika dia berada dalam kerajaan. Justeru apabila ada ruang itu, GMI sepatutnya membantu kerajaan mengkaji ISA. Sebab itu, saya nampak tidak ada kejujuran ke arah perubahan, ini masalahnya. Kita laungkan perubahan tetapi sama ada kita melaungkan perubahan itu kerana benar-benar jujur untuk melihat perubahan dalam negara atau kita laungkan perubahan itu demi kepentingan politik. Apa maksud saudara tidak ada kejujuran itu? MOHAMED EZAM: Saya sebut jujur sebab ia perkara asas yang hilang dalam politik negara sekarang ini seperti mana budaya politik Anwar. Kita lihat sudah ada perubahan besar dalam Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), ada komitmen dalam ISA tetapi mereka tidak membantu, kalau mereka jujur sudah pasti apabila ada perubahan positif yang dilakukan oleh kerajaan mereka akan sokong. Kejujuran penting dalam membina negara, dulu pemimpin dan pengasas negara kita tidak hebat berpidato, kehebatan mereka ialah sifat jujur dan sifat ini yang tidak ada pada Anwar. Kebimbangan saya ketidakjujuran ini meresap kepada NGO seperti GMI dan rakyat yang tidak tahu, ia akan merosakkan negara. Jadi apakah motif sebenarnya di sebalik demonstrasi baru-baru ini? MOHAMAD EZAM: Demonstrasi baru-baru ini menunjukkan sikap yang tidak jujur kepada perubahan, memperalatkan GMI untuk kepentingan politik dan satu fenomena yang merosakkan Negara. Fenomena ini bukan hanya dalam bentuk demonstrasi, sebelum ini usaha merosakkan asas dan institusi Negara berlaku daripada awal sebab itu serangan dibuat ke atas dasar-dasar penting Negara. Benarkah ada di kalangan mereka yang berdemontrasi ini turut diupah? MOHAMAD EZAM: Sebenarnya terdapat pelbagai kelompok penunjuk perasaan berkenaan termasuklah yang hardcore. Mungkinkah demonstrasi yang dilakukan bertujuan untuk mengalih perhatian terhadap pelbagai isu yang melanda pembangkang sekarang? MOHAMAD EZAM: Demonstrasi yang dilakukan itu sebenarnya ‘mewakili’ banyak kepentingan, sebab itu kita tengok walaupun mereka berbalah begiti teruk di kalangan pakatan pembangkang tetapi dalam kes demonstrasi mereka bersatu. Tetapi malangnya Pas turut terlibat? MOHAMAD EZAM: Saya dapat merasakan Pas merasa tertakan, legitimasi mereka sebagai sebuah parti yang bermaruah dan berwibawa telah dipersoalkan. Apatah lagi dengan undi yang merosot di Manek Urai, Pas dapat rasakan itu, sebab mereka dilihat lemah, semua orang tahu yang bermaharajalela di Perak dulu ialah DAP begitu juga di Selangor. Maknanya demonstrasi ini adalah salah satu usaha merosakkan asas Negara? MOHAMAD EZAM: Ia hanyalah satu manifestasi kecil kepada satu agenda besar untuk merosakkan asas dan institusi Negara. Ia dilakukan kerana mereka tahu, mereka tidak boleh bertahan dalam pilihan raya akan dating. Ini sifat orang yang tidak meletakkan kepentingan Negara mengatasi segala-galanya. Seorang pemimpin itu kerana cita-cita dia untuk menjadi Perdana Menteri, dia sanggup rosakkan semua asas Negara. Sebab itulah saya hendak mengingatkan kepada rakyat, ini satu agenda yang amat membahayakan Negara, ini bukan masalah politik. Sasaran yang dihentam dan diancam bukan BN sahaja tetapi institusi Negara hakikatnya Negara dalam bahaya.
|


